PERASMIAN AKADEMI ESPORTS NEGERI PULAU PINANG

YAB. Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang telah secara rasminya mengumumkan pembukaan Akademi Sukan Elektronik Negeri Pulau Pinang di Tingkat 3, Komtar pada 27 Ogos 2022. Akademi tersebut, satu-satunya akademi yang dibuka khusus untuk tujuan pembangunan sukan elektronik akan diurus dan dipantau oleh Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang.

Seiring dengan perkembangan sukan elektronik yang semakin hangat dikalangan anak muda masa kini, Kerajaan Negeri amat berharap agar Akademi Sukan Elektronik ini akan menjadi pemangkin utama kepada perkembangan, pembangunan dan kemajuan sukan elektronik di Pulau Pinang. Akademi ini secara amnya yang dilengkapi dengan kemudahan 12 unit komputer (gaming pc) berspesifikasi tinggi yang terkini, 2 unit konsul Playstation 5, dan ruangan pembangunan latihan sukan elektronik telefon mudah alih.

Konsep pelaksanaan Akademi ini adalah berlandaskan kepada aspek pendidikan dan pembangunan sukan elektronik yang menjadi keutamaan mutlak dan bukan tertumpu kepada pusat permainan gaming semata-mata. Oleh demikian, kerjasama erat bersama dengan pihak-pihak berkepentingan seperti Jabatan Pendidikan Negeri, Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang, Persatuan Sukan Elektronik Pulau Pinang, Digital Penang dan lain-lain organisasi dalam bidang sukan elektronik adalah amat penting agar pendidikan dan pendedahan sukan elektronik dengan asas-asas yang kukuh dan baik dapat disampaikan kepada generasi muda kini.

SKIM SUKAN AWAM PULAU PINANG 2030 (SAP2030)

Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Penang Career Athlete & Education (PACE) telah meluluskan Skim Sukan Awam Pulau Pinang 2030 (SAP2030). Skim SAP2030 ini merupakan satu skim sukan tambahan yang dikenali bagi tujuan meraihkan kecemerlangan dan pencapaian individu-individu dari negeri Pulau Pinang dalam kejohanan sukan, selain daripada kejohanan bertemasya antarabangsa seperti yang telah ditetapkan dalam Skim Insentif Kebangsaan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, atau dikenali sebagai SKIMAS, yang wajar dipertimbangkan untuk pemberian insentif dan pengiktirafan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. 

SAP2030 diwujudkan untuk memberi dorongan positif dan memberi penghargaan kepada golongan individu, yang atas inisiatif dan tanggungan sendiri, telah menyertai dan mencapai keputusan yang cemerlang serta mengharumkan nama baik negeri Pulau Pinang dalam kejohanan yang melibatkan sekurang-kurangnya 5 buah negara.

SAP2030 berobjektif untuk mencapai matlamat seperti berikut:

  1. Menyemarakkan pembudayaan sukan yang cemerlang di kalangan masyarakat Pulau Pinang selain sukan berprestasi tinggi;
  2. Dijadikan platform untuk memperluaskan pengumpulan data atlet sukan Pulau Pinang dari multi disiplin sukan; dan
  3. Menjadi peransang dan motivasi semangat dalam meningkatkan daya juang atlet-atlet muda dalam sukan yang diceburi bagi menjadi seorang juara.

Pemohon perlu mematuhi syarat kelayakan seperti yang telah digariskan dalam Borang Permohonan di pautan berikut:

>>> Klik disini untuk muat turun Borang Permohonan Skim Sukan Awam Pulau Pinang 2030

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Unit PACE di talian 04 - 659 3713/ 14 /15 atau emel kepada pace.msnpp@gmail.com.