Makluman Penang Athlete Career Education (PACE)

pace

Selaras dengan usaha untuk membina sebuah platform bagi menambah manfaat (added-value) kepada atlet-atlet berprestasi tinggi Negeri yang sedang mewakili negeri Pulau Pinang di kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) atau sukan-sukan bukan SUKMA yang bertaraf kebangsaan, Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang telah mewujudkan program PACE yang merumuskan kepada penyediaan peluang dan program dalam melahirkan atlet yang berdaya saing bukan hanya dalam sukan, tetapi berhasratkan untuk melahirkan atlet Negeri yang turut cemerlang dalam pendidikan serta membina laluan kerjaya kepada atlet negeri Pulau Pinang selain dari industri sukan.

PACE merupakan sebuah program kebajikan atlet yang memberi tumpu terhadap 3 aspek utama melibatkan penyediaan bantuan dari segi Pendidikan, pembinaan laluan kerjaya yang dinamik dan memastikan kewujudan mekanisme yang memelihara kebajikan semua atlet-atlet negeri dibawah program pembangunan sukan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang disamping menunjukkan penghargaan dan komitmen Majlis untuk terus menjaga atlet yang sentiasa mengharumkan nama negeri melalui titik peluh, masa dan kudrat tenaga mereka.

Atlet-atlet yang memohon dibawah program PACE perlu memenuhi syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan seperti:-

Pemohon mestilah Atlet Aktif di bawah program Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang berstatus :

1.1 Skuad Latihan SUKMA (Dalam Database Atlet MSNPP) ATAU

1.2 Sukan Bukan SUKMA yang mana kejohanan mestilah setaraf SUKMA/Kebangsaan (Database mulai 1 Januari 2022)     ATAU

1.3 Bekas atlet negeri dalam tempoh 2 tahun selepas kejohanan selepas menyertai kejohanan terakhir yang diiktiraf dibawah program Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (Sukan Malaysia/Kejohananan Kebangsaan/Kejohanan Remaja Kebangsaan atau setaraf dengannya.) DAN pemohon mestilah berumur 23 tahun dan ke bawah.           

Secara amnya, PACE memperuntukan sebanyak 3 jenis bantuan yang dibuka permohonannnya kepada atlet-atlet negeri yang berkelayakan seperti kategori berikut:-

  • Bantuan Insentif Pendidikan IPT (one-off),
  • Bantuan Biasiswa Sukan (sepanjang tempoh pengajian)
  • Bantuan Skim Kebajikan Atlet (SKAN) yang terdiri dari Bantuan Khairat Kematian Atlet, Bantuan Rawatan Penyakit (one-off), Bantuan Kos Pembedahan (one-off) dan Bantuan Bencana Alam (one-off).

BORANG PERMOHONAN & SYARAT-SYARAT PERMOHONAN ADALAH SEPERTI BERIKUT:-


  • BANTUAN INSENTIF PENDIDIKAN (One Off)

Bantuan Insentif Pendidikan IPT (one-off) akan diberikan hanya sekali sahaja mengikut dua jenis kategori iaitu Atlet AKTIF di bawah program Skuad Latihan SUKMA (Dalam Database Atlet MSNPP) atau Sukan Bukan SUKMA yang mana kejohanannya mestilah setaraf dengan SUKMA/Kebangsaan (berpandukan kepada senarai nama Atlet yang terkandung dalam Database mulai 1 Januari 2022) atau Bekas Atlet Negeri dalam tempoh 2 tahun selepas kejohanan selepas menyertai kejohanan terakhir yang diiktiraf dibawah program Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (Sukan Malaysia/Kejohananan Kebangsaan/Kejohanan Remaja Kebangsaan atau setaraf dengannya) dan pemohon mestilah berumur 23 tahun dan ke bawah.

Bantuan ini akan diberikan kepada atlet yang sedang mengikuti program pendidikan seperti Sijil Kemahiran, Pra Diploma, Diploma, Matrikulasi dan Ijazah Sarjana Muda. Program pengajian ini mestilah tawaran untuk program pengajian sepenuh masa sahaja. (kemasukan bermula dari tahun 2021 dan ke atas sahaja).


>>> Klik disini untuk muat turun Borang Permohonan Insentif Pendidikan


 

  • BANTUAN BIASISWA SUKAN (untuk pelajar yang sedang mengikuti pengajian di institusi pendidikan tinggi)

Bantuan Biasiswa Sukan MSNPP pula akan diberikan kepada atlet yang mempunyai potensi akademik yang baik serta telah meneruskan pengajian di IPT diseluruh Malaysia. 

Biasiswa ini ditawarkan kepada atlet-atlet yang memenuhi syarat kelayakan asas yang ditetapkan iaitu perlu merupakan atlet yang pernah mewakili SUKMA atau bagi Sukan Bukan SUKMA yang mana kejohanan mestilah setaraf SUKMA/Kebangsaan ATAU Bekas atlet negeri dalam tempoh 2 tahun selepas kejohanan (mestilah setaraf SUKMA/Kebangsaan) DAN pemohon mestilah berumur 23 tahun dan ke bawah.

Bantuan Biasiswa ini terbahagi kepada 2 kategori pendapatan keluarga iaitu atlet dalam kategori berpendapatan isi rumah B40 (kurang RM 4,000.00) & bukan B40 (lebih RM 4,000.00) serta atlet perlu melepasi pencapaian minimun CGPA yang telah ditetapkan dan kursus/program yang dipilih mestilah mempunyai pengiktirafan sijil MQA (Malaysian Qualification Agency).

Tajaan Biasiswa Sukan ini diperuntukan kepada atet-atlet yang pernah menyertai SUKMA SAHAJA atau  kepada atlet yang bukan terdiri dari Sukan yang dipertandingkan di SUKMA tetapi mempunyai taraf seperti Bertaraf SUKMA/Kebangsaan yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Diploma atau Ijazah Sarjana Muda mulai sesi 2021 dan pelajar yang sedang mengikuti pengajian tahun ke-2 dan ke atas (pada tahun 2021) di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia yang diktiraf of Malaysia Qualification Agency (MQA).

Biasiswa ini diperuntukan kepada atlet dari kategori pendapatan isi rumah B40 (kurang RM 4,000.00) dan bukan B40 (lebih RM4,000.00) untuk pengajian Ijazah Sarjana Muda dan Diploma sahaja.

Ijazah Sarjana Muda (4 tahun pengajian / maksimum 8 semester)

Kategori B40                 : RM1,500 satu semester
Kategori Bukan B40      : RM 1,200 satu semester
CGPA Minima               : 2.75

Diploma (3 tahun pengajian / maksimum 6 semester)

Kategori B40                 : RM1,000 satu semester
Kategori Bukan B40     : RM800 satu semester
CGPA Minima               : 2.50

Tempoh tajaan biasiswa adalah sepanjang satu (1) semester untuk program tersebut dan pemohon perlu mengemukakan permohonan baru setiap semester dengan keputusan peperiksaan akhir IPT jikalau CGPA melepasi tahap minima yang telah ditetapkan untuk penyambungan biasiswa. Biayaan biasiswa akan diberikan pada setiap semester sehingga atlet tersebut berjaya menamatkan pengajian sepenuhnya dan bergraduasi.


>>> Klik di sini untuk muat turun Borang Permohonan Bantuan Biasiswa


  • BANTUAN KEBAJIKAN DIBAWAH SKIM KEBAJIKAN ATLET NEGERI PULAU PINANG (SKAN)

Bantuan SKAN ini diperuntukan untuk membantu kebajikan atlet-atlet seperti khairat kematian, rawatan bagi membiayai kos perubatan terhadap sebarang penyakit yang dialami (kanser, serangan jantung, sakit buah pinggang, stroke, lumpuh, kencing manis) atau untuk membiayai bantuan kos perubatan diatas kecederaan yang dialami ketika mewakili negeri Pulau Pinang serta bencana alam.

>>> Klik di sini untuk muat turun Borang Permohonan Kebajikan


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pegawai Pembangunan Sukan  MSNPP untuk sukan masing-masing secara terus atau melalui Jurulatih Sukan Negeri, Persatuan Sukan Negeri atau terus kepada Sekretariat PACE Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang di talian 04-6593713/14/15 atau melalui email di alamat pace.msnpp@gmail.com