Majlis Penyerahan Insentif Pendidikan & Biasiswa Sukan PACE pada 8 November 2021

 

Majlis Penyerahan Insentif Pendidikan & Biasiswa Sukan dibawah program PACE untuk fasa kedua tahun 2021 telah disempurnakan oleh YAB Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang pada 8 November 2021 bertempat di Auditorium A, KOMTAR.

Seramai 62 orang atlet negeri Pulau Pinang yang terdiri daripada sukan Floorball, Hoki, Olahraga, Petanque, Kriket, Angkat Berat, Lawn Bowls, Gimnastik, Badminton, Sepak Takraw, Memanah, Tenpin Bowling, Bola Jaring, Judo dan Pencak Silat telah menerima bantuan insentif pada kali ini dengan jumlah sebanyak RM101,450 secara keseluruhannya.

Program PACE merupakan inisiatif daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang melihat pembangunan serta kebajikan atlet negeri terus terbela.

Terima kasih kepada rakan-rakan korporat yang terus menyokong program PACE dan tahniah diucapkan kepada para atlet negeri yang juga telah meraih keputusan yang cemerlang dalam bidang akademik.

Sama-sama kita mengorak langkah kejayaan yang lebih gemilang untuk negeri Pulau Pinang.

Be Active, Be Sportive, Jom Exercise

Sebanyak 120 hadiah yang lumayan bakal menanti pemenang program “Be Active, Be Sportive, Jom Exercise” yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri bersama Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang dari 15 Oktober 2021 jam 12:00 pagi hingga 25 Oktober 2021 jam 11:59 malam.

Hadiah-hadiah termasuklah produk sukan dengan tandatangan atlet badminton negara Chan Peng Soon, atlet gimnastik negara Jeremiah Loo Phay Xing serta atlet paralimpik berbasikal negara Nur Azlia Syafinaz yang baru-baru ini telah mewakili negara Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Program “Be Active, Be Sportive, Jom Exercise” ini adalah berlangsung sempena Bulan Sukan Negara pada bulan Oktober 2021.

Program ini adalah terbuka kepada warga Pulau Pinang sahaja dan cara penyertaan adalah mudah. Peserta hanya perlu muat naik gambar atau video ke Facebook sendiri serta tag laman Facebook Sports For All Penang dan Penang State Sports Council, dan seterusnya mengisikan borang Google Form berdasarkan langkah-langkah yang telah ditetapkan (seperti dilampirkan dalam poster program).

Untuk makluman, setiap peserta hanya dibenarkan untuk menyertai program satu kali sahaja bagi memastikan keadilan.

Di samping itu, 1000 peserta awal yang memenuhi syarat adalah layak untuk menyertai sesi cabutan bertuah yang akan diadakan pada 29 Oktober 2021 (Jumaat), jam 8.30 malam melalui laman Facebook Sports For All Penang.

Bagi memeriahkan suasana sepanjang tempoh program ini dilaksanakan, pihak Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang juga akan menganjurkan sesi perkongsian interaktif pada 16 dan 21 Oktober 2021 bersama dengan pelbagai penggerak industri sukan tempatan.

Sekiranya mempunyai sebarang pernyataan sila hubungi pegawai Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang melalui talian 012-4722807 (Ravichandran) dan 012-5418966 (Corey Chew).