Persediaan Atlet Menjalani Latihan Ketika Kualiti Udara Terjejas Dan Fenomena El Nino

Impak El Nino kepada negara secara umumnya boleh menyebabkan jumlah hujan diterima akan berkurangan, terutamanya bagi Sabah dan Sarawak. El Nino juga boleh menyebabkan cuaca menjadi lebih panas dan kering yang seterusnya memudahkan berlakunya kebakaran hutan yang boleh menyebabkan kejadian jerebu tebal merentasi sempadan yang akan memberi kesan terutamanya terhadap kesihatan, aktiviti luar dan pertanian.
Sumber mengenai jerebu dan fenomena El Nino ini boleh dilayari melalui laman sesawang rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia di http://www.met.gov.my/

Selain itu, ketibaan ramadhan beberapa hari lagi lebih memberi cabaran kepada atlet yang beragama Islam di mana mereka tetap meneruskan latihan bagi mempersiapkan diri menghadapi kejohanan yang akan datang. Namun, ibadah puasa bukan penghalang mengekalkan prestasi dengan pemantauan yang rapi.

Justeru itu, Institut Sukan Negara (ISN) ingin memberi nasihat dan panduan kepada atlet-atlet yang menjalani latihan lebih-lebih lagi atlet yang menjalani aktiviti latihan atau pertandingan di persekitaran di luar.

Fenomena El Nino dan jerebu juga boleh memberi kesan kepada atlet dan orang awam, terutama mereka yang mengidap penyakit asma. Oleh yang demikian, para atlet mahupun jurulatih perlu mengetahui nilai Indeks Pencemaran Udara (IPU) sebelum mengadakan aktiviti latihan atlet. Berikut bacaan IPU yang perlu menjadi panduan atlet dan jurulatih:-

• Bacaan IPU 0 – 50 = Diklasifikasi sebagai baik
• Bacaan IPU 51 – 100 = Diklasifikasi sebagai sederhana baik
• Bacaan IPU 101 – 200 = Diklasifikasi sebagai tidak sihat
• Bacaan IPU 201 – 300 = Diklasifikasi sebagai sangat merbahaya

Atlet tidak digalakkan meneruskan latihan jika IPU berada di atas paras bahaya kerana gabungan pencemaran udara dan latihan boleh mengakibatkan masalah kesihatan pada sistem pernafasan. Untuk makluman, ketika melakukan aktiviti latihan, atlet cenderung menyedut udara yang lebih dan bernafas lebih jauh ke dalam paru-paru. Kebanyakan atlet akan bernafas melalui mulut ketika sesi latihan dan udara yang di sedut umumnya memintas saluran hidung yang biasanya menapis zarah pencemaran udara. Masalah kesihatan yang melibatkan pencemaran udara terdiri daripada kerosakan pada saluran pernafasan paru-paru, peningkatan risiko pencetusan asma, risiko serangan jantung dan strok serta boleh membawa kematian dalam kes-kes yang ekstrem.

Untuk menghadkan kesan-kesan pencemaran udara dan El Nino ketika melakukan latihan, ISN mengesyorkan beberapa panduan mudah untuk para atlet dan jurulatih menjalani latihan ketika berlakunya pencemaran udara. Berikut merupakan cadangan untuk latihan ketika situasi berikut di atas berlaku :-

• Elakkan daripada mengadakan latihan berintensiti tinggi ketika paras IPU berada di paras tidak sihat. Pantau tahap pencemaran udara dari masa ke masa melalui siaran radio, televisyen mahupun secara talian. Elakkan daripada menjalani latihan pada waktu tengahari atau petang di mana tahap pencemaran udara adalah yang paling tinggi. Atlet di tegah menjalani latihan apabila bacaan IPU melebihi 100 ataupun mempunyai simptom mengantuk dan sesak nafas.

• Menjalani latihan di dalam kawasan tertutup/ stadium tertutup merupakan langkah yang paling efektif untuk mengekalkan dan meneruskan program latihan atlet. Jika pencemaran udara berterusan untuk tempoh yang lama, pelbagaikan rutin latihan seperti latihan suaian fizikal, larian menggunakan “treadmill” , berbasikal, berenang, latihan litar dan lain-lain.

• Minum lebih banyak air kerana ia membantu mengelakkan sebarang kebarangkalian jangkitan paru-paru. Air juga boleh membantu proses mencuci dan membersihkan zarah pencemaran di dalam saluran pernafasan apabila atlet terdedah kepada pencemaran udara ketika sesi latihan di luar. (Ketika bulan ramadhan: pengambilan air yang banyak ketika bersahur dan berbuka puasa bagi mengelakkan dari dehidrasi. Pengambilan minuman berkafein seperti teh atau kopi tidak digalakkan kerana ianya boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan).

• Bagi sukan yang benar-benar memerlukan latihan luar seperti bola sepak, hoki, kapal layar dan sebagainya, pasukan itu boleh mempertimbangkan untuk menjalani latihan buat sementara waktu di lokasi lain yang bebas daripada masalah pencemaran jerebu dan fenomena El Nino ini.

Berikut adalah empat (4) langkah bagi mengelakkan ‘heat stroke’

i) Elakkan berada dan berjemur di bawah matahari terik.

ii) Menggunakan topeng (N95) atau alat pernafasan ketika berada di luar.

iii) Mandi dengan kerap bagi menyejukkan badan.

iv) Tukar baju yang dibasahi peluh dengan baju yang kering, ini kerana baju yang kering akan membolehkan peluh disejat untuk menyejukkan badan.

ISN juga turut mengesyorkan kepada mana Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan atau penganjur kejohanan jikalau boleh, dapat menunda sebarang aktiviti fizikal luar bagi memastikan keselamatan dan tahap kesihatan atlet dan penonton terjamin jika bacaan IPU melepasi nilai 100 dan fenomena El Nino berterusan. ISN juga akan turut memantau dan memberi kenyataan nasihat dari masa ke masa mengenai situasi dan fenomena yang sedang melanda negara sekarang ini.

(Sumber : Institut Sukan Negara Malaysia pada 27 Jun 2014 -www.isn.gov.my)