Selaras dengan pengumuman yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19.
Semua acara sukan samada berbentuk latihan berkumpulan, berpusat ataupun penyertaan pertandingan dibawah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang serta latihan atlet dibawah kendalian Jurulatih Sukan Negeri akan ditangguhkan serta dibatalkan berkuatkuasa dari hari ini, 16 hingga 31 Mac 2020 (14 hari) bagi mencegah penularan wabak COVID-19 yang semakin berleluasa.
Semua atlet negeri, persatuan sukan negeri dan penggiat sukan digesa agar mematuhi Arahan Kerajaan terutamanya dari Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memastikan tahap keselamatan tertinggi diutamakan sepenuhnya bagi mengelakkan jangkitan virus COVID-19.
Antara langkah-langkah pencegahan umum yang wajar dilaksanakan oleh semua atlet negeri dan penggiat sukan adalah seperti berikut:-
1. Kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer).
2. Memakai penutup mulut dan hidung (face mask) apabila ada tanda gejala atau berhubung/berurusan dengan orang lain.
3. Semua perhimpunan yang melibatkan orang ramai (mass gathering) ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan COVID-19 dan tidak dihadiri oleh atlet dan penggiat sukan negeri.
4. Sekiranya mana-mana atlet, jurulatih dan pengiat sukan mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, dinasihatkan agar tidak menghadiri program yang melibatkan orang ramai atau tempat yang padat termasuk aktiviti keagamaan.
5. Individu yang bergejala dinasihatkan menjarakkan diri (social distancing) sekurang-kurangnya satu meter bila berhadapan dengan individu lain.
6. Atlet, Jurulatih dan Penggiat Sukan tidak menyertai/menghadiri/melancong ke negara-negara yang sedang mengalami wabak jangkitan COVID-19.
7. Atlet, Jurulatih dan Penggiat Sukan yang bergejala jangkitan saluran pernafasan agar tidak menyertai/menghadiri/berkunjung/melawat kawasan-kawasan lain di Malaysia semasa cuti sekolah.
Sekian, harap maklum.
YB Soon Lip Chee
Pengerusi
Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang
Tarikh : 16 Mac 2020