Tahniah Mohd Faiz Subri ! Anugerah Puskas
KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Mohd Faiz Subri dari Malaysia merangkul Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk jaringan gol paling cantik sepanjang 2016, justeru meletakkan namanya sebaris dengan pemenang terdahulu seperti bintang tersohor, Cristiano Ronaldo dan Neymar.
Penyerang Pulau Pinang berusia 29 tahun itu menerima anugerah tersebut hasil keunikan sepakan percuma tersebut pada majlis gilang-gemilang di Zurich, Isnin (awal pagi Selasa di Malaysia).Kejayaan meraih anugerah tersebut menggembirakan jutaan rakyat Malaysia, yang jauh beribu kilometer daripada suasana musim sejuk di bandar tasik Swiss itu.
Mohd Faiz juga mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama dikurniakan 'gong' sempena nama legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas, yang menikmati kejayaan hebat bersama pasukan Real Madrid pada 1950-an dan 60-an serta bersama pasukan kebangsaan negara beliau.