Kekal Aktif Walaupun Keadaan Berjerebu

Walk Feet

Kita perlu kekal aktif untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan dan bagi mengelakkan pelbagai penyakit. Kita disarankan berjalan 10 ribu langkah sehari atau melakukan aktiviti fizikal sederhana seperti berjalan laju, berkebun atau berbasikal selama 150 minit seminggu. Pada lazimnya, aktiviti fizikal adalah dilakukan di luar rumah. Keadaan berjerebu sekarang menyebabkan kita menyekat aktiviti luar rumah kerana semua kegiatan luar perlu dielakkan jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100 bagi mengelakkan masalah-masalah kesihatan yang berkaitan dengan menyedut dan terdedah kepada udara berjerebu yang tercemar. Ini secara tidak langsung boleh mengurangkan aktiviti fizikal kita. Ia tidak semestinya begitu!

Berikut adalah tips bagaimana untuk meningkatkan aktiviti fizikal kita walaupun keadaan berjerebu:

  • Kegiatan fizikal dan sukan di dalam bangunan boleh diteruskan seperti menghadiri gimnasium, sukan futsal, skuash dan badminton.
  • Gunakan tangga berbanding lif di tempat kerja atau di dalam mana-mana bangunan
  • Mop lantai dan kemas rumah anda
  • Menari di dalam rumah
  • Berjalan-jalan di Kompleks Membeli-belah.

Jangan lupa minum air yang mencukupi iaitu 2 liter sehari dan tidak merokok ketika keadaan berjerebu. Pemasangan penghawa dingin dan alat penapis udara adalah digalakkan. Aktiviti fizikal diluar boleh diteruskan jika IPU kurang daripada 100. Walaubagaimanapun, bagi mereka yang menghidap asma atau sedang mengalami batuk selsema dan irritasi kulit, mereka disarankan supaya mengelakkan diri dari keluar dari rumah dan bangunan sehingga IPU mencapai kurang dari 50. Diharap tips diatas dapat membantu kita untuk kekal aktif dan sihat walaupun dalam keadaan berjerebu.

Sumber :http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/186