Kenyataan Media Mengenai Pencapaian Sukan SEA Ke-28 Singapura oleh YB EXCO Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang
Sebanyak 65 orang atlet dari negeri Pulau Pinang telah dipilih untuk bertanding di Sukan SEA ke-28 dalam 24 jenis sukan seperti Olahraga, Renang, Terjun Air, Renang Berirama, Memanah, Badminton, Snooker dan Billiard, Tenpin Boling, Berbasikal, Lawan Pedang, Bola Sepak, Golf, Gimnastik, Pencak Silat, Pelayaran, Menembak, Skuasy, Tenis, Wushu, Hoki, Ping Pong, Floorball, Softball dan Polo Air.
Daripada penyertaan ini, atlet-atlet Pulau Pinang telah berjaya menyumbang 24.19% daripada pungutan pingat emas negara melalui kutipan sebanyak 15 Pingat Emas yang berjaya dimenangi oleh 13 orang atlet, 29.31% daripada pungutan pingat perak negara bagi kutipan 17 Pingat Perak daripada 15 orang atlet dan 19.70% daripada kutipan pingat gangsa negara dengan kemenangan 13 Pingat Gangsa daripada 22 orang atlet bagi Kontinjen Negara. Secara keseluruhannya, atlet Pulau Pinang telah berjaya menyumbang sebanyak 24.19% pingat kepada Kontinjen Malaysia.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat berbangga diatas kejayaan ini serta mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada atlet-atlet Pulau Pinang ini kerana mereka bukan sahaja telah berjaya mengharumkan nama negara, tetapi juga telah menjulang martabat serta nama negeri Pulau Pinang sebagai negeri yang menghasilkan atlet-atlet berprestasi tinggi yang berwibawa kepada negara.
Atlet Terjun Air, Ooi Tze Liang merupakan antara atlet yang paling menonjol di dalam sukan Sea ke-28 Singapura 2015 apabila berjaya membawa pulang sebanyak 4 butir pingat emas, dan diikuti oleh Atlet Snooker & Billiard, Thor Chuan Leong beserta Atlet Tenpin Bowling Wanita, Esther Cheah Mei Lan yang masing-masing membawa pulang sebanyak 2 butir pingat emas dalam acara yang disertai.
Pencapaian oleh atlet-atlet seperti Moh Keen Hoo, Aggie Cheah Ryu Shin, Chan Lu Yi, Adrian Ang Hsien Loong, Siti Noor Amarina Ruhami, Siti Rahmah Othman, Vanessa Raj Gnanasigamani, Mohamad Syahir Mohd Rosdi, Muhammad Azwar Abdul Rahman dan Zulfadhli Ruslan turut diraikan oleh Kerajaan Negeri diatas kejayaan menyumbangkan sebutir pingat emas kepada pasukan yang diwakili oleh mereka.
Majlis Penyerahan Insentif kepada atlet-atlet Pulau Pinang yang memenangi pingat Emas di Sukan SEA ke-28 Singapura sejumlah RM51,000.00 akan disempurnakan oleh YAB Ketua Menteri Pulau Pinang pada pagi ini.
Skim Insentif Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS) diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada tahun lalu dengan tujuan untuk meningkat, menggalak serta memberi motivasi kepada para penggiat sukan negeri Pulau Pinang yang terdiri dari atlet-atlet negeri Pulau Pinang yang bertanding di sukan-sukan bertemasya mewakili negara Malaysia dan kejohanan-kejohanan sukan di peringkat antarabangsa yang diiktiraf oleh badan induk sukan di Malaysia.
Antara penghargaan SKIMAS yang telah dianugerahkan oleh Kerajaan Negeri kepada atlet-atlet yang berjaya adalah seperti Sukan Asia Ke-17 Incheon Korea Selatan, Sukan Para Asia Ke-17 Incheon Korea Selatan, Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA Ke-18 Melaka), Sukan Paralimpiad Malaysia XVII Perlis 2014 dan Kejohanan Skuasy Wanita Dunia 2014 Edisi Ke-30 Di Cairo, Mesir yang menyaksikan Dato' Nicol Ann David dinobatkan sebagai Juara Skuasy Terbuka Wanita Dunia Kali Ke-8.
YB Chong Eng
EXCO Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita
Keluarga dan Komuniti Negeri Pulau Pinang
merangkap Pengerusi Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang