Pembangunan Sukan Prestasi Tinggi

Dalam konteks pembangunan sukan negeri, Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang selaku peneraju dan penggerak utama sukan berprestasi tinggi telah melaksanakan pelbagai program pengukuhan atlet-atlet negeri dan pemantapan kontinjen negeri secara menyeluruh bagi menghadapi saingan Sukan Malaysia yang berlangsung setiap tahun.

Selaras dengan arah tuju dan dasar negeri untuk terus memartabatkan kecemerlangan sukan Pulau Pinang, Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang telah merangka dan melaksanakan program-program pembangunan sukan dan perancangan pengukuhan atlet melalui konteks sains sukan yang meliputi latihan pengukuhan kekuatan fizikal, psikologi dan mental atlet sebagaimana yang disusun di dalam “Pelan Periodisation” untuk pasukan Pulau Pinang.

Program pemerkasaan atlet-atlet negeri diperkemaskan secara rapi secara tahunan dimana Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang memastikan kebajikan dan hal ehwal atlet dilaksanakan melalui pembayaran elaun-elaun latihan dan elaun atlet elit diteruskan sepanjang tahun yang turut meliputi kemudahan seperti Skim Insurans Pegawai dan Atlet, Skim Atlet Elit, Elaun Latihan Projek Mutiara dan pemberian makanan tambahan berkhasiat “Supplement” kepada atlet-atlet negeri.

Dalam merealisasikan hasrat untuk menjadikan negeri Pulau Pinang sebagai “Power House” dalam penjanaan atlet-atlet bertaraf antarabangsa, Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) sentiasa memastikan pengukuhan serta pemantapan kesukanan negeri dilaksanakan melalui konteks berikut :-

  • Pengurusan sukan yang cekap, akauntabel dan telus sepanjang masa;

  • Meningkatkan jurulatih-jurulatih bertauliah di peringkat negeri;

  • Membimbing serta meningkatkan ilmu pengetahuan jurulatih-jurulatih dari segi sains sukan;

  • Mengukuhkan kedudukan kewangan Majlis dari tahun ke tahun;

  • Memastikan kemudahan sukan yang mencukupi serta penyediaan kemudahan bagi sebarang pertandingan peringkat antarabangsa; dan

  • Menerapkan penggunaan sains sukan dan sokongan perubatan sepanjang masa dalam semua sesi latihan serta pertandingan sukan.

Dan bagi memastikan bidang sukan di negeri Pulau Pinang mencapai tahap yang tinggi, beberapa program kemajuan telah dirangka sebagai pemangkin kepada kenaikan taraf mutu sukan di dalam negeri. Antara program-program yang dirangka adalah seperti:-

  • Sukan Pulau Pinang (SUKPEN)
    Merupakan pertandingan sukan beraneka jenis sukan (multi-sports event) yang dipertandingkan antara daerah-daerah Negeri Pulau Pinang. Ia melibatkan semua daerah, kelab, persatuan, agensi sukan di seluruh negeri Pulau Pinang. Kejohanan ini dijadikan platform mencungkil bakat baru / atlet-atlet muda daerah bagi mewakili Pulau Pinang.

  • Festival Sukan Kombat (FESKOM)
    FESKOM melibatkan semua acara yang dipertandingkan dalam sukan tempur atau combat sports yang melibatkan sentuhan badan. Festival ini adalah bertaraf antarabangsa yang melibatkan penyertaan dari luar negeri seperti Singapura dan Brunei. Feskom turut melibatkan penyertaan kontinjen-kontinjen negeri termasuk pasukan jemputan dari PDRM (Polis Diraja Malaysia) , ATM (Angkatan Tentera Malaysia), dan MASUM (Majlis Sukan Universiti Malaysia). Antara sukan yang dipertandingkan ialah tinju, pencak silat, karate do, taekwondo, judo, silambam, lawan pedang dan wushu.

  • Majlis Anugerah Sukan
    Majlis untuk memberi penghormatan kepada ahli-ahli sukan negeri yang telah mencapai kejayaan yang cemerlang dan mengharumkan nama Negeri dan Negara dalam lapangan bidang sukan.

  • Program Latihan Bersepadu kepada Atlet-Atlet Skuad Latihan Sukan Malaysia

  • Melaksanakan PROJEK ASRAMA MUTIARA sebagai satu projek jangka panjang yang mensasarkan latihan sepanjang tahun untuk Atlet-Atlet Elit dan Atlet skuad latihan Sukan Malaysia.

  • Pencungkilan bakat-bakat baru Skuad Pelapis Pulau Pinang.

  • Meningkatkan kualiti bidang kejurulatihan dari segi sains sukan.

  • Memberi penekanan komprehensif terhadap program latihan yang dijalankan.

  • Memberi penumpuan kepada jenis-jenis sukan yang berpotensi dan menawarkan banyak pingat.

  • Penglibatan Atlet-Atlet di dalam pertandingan di dalam dan luar negara.

  • Pembelian dan Penggantian Peralatan Sukan sebagai langkah menambahbaik kemudahan latihan untuk atlet-atlet.

  • Membekalkan makanan tambahan (Food Supplement) bagi meningkatkan kadar metabolisme badan atlet dan membantu pertumbuhan badan anggota atlet.