PERASMIAN GALERI SUKAN NEGERI PULAU PINANG
YAB. Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang telah secara rasminya mengumumkan pembukaan Galeri Sukan Negeri Pulau Pinang pada 26 November 2022 . Galeri Sukan tersebut, yang terletak di Kompleks Sukan dan Rekreasi Sony Seberang Jaya adalah galeri sukan pertama yang telah diwujudkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang.
YAB. Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang memberikan ucapan perasmian.
Kelahiran atlet-atlet negeri bertaraf antarabangsa seperti Dato’ Wira Lee Chong Wei, Dato’ Nicol Ann David, Dato’ Zaiton Othman serta ramai lagi tokoh sukan yang telah menyumbang kejayaan besar dalam arena sukan masing-masing adalah sesuatu yang sangat membanggakan dan seharusnya menjadi pencetus inspirasi terutama kepada para pelapis baharu dalam meraih kejayaan.
YAB. Ketua Menteri merasmikan pembukaan Galeri Sukan Negeri Pulau Pinang dengan menandatangani plak perasmian.
Oleh sebab itu, satu cadangan telah dikemukakan oleh EXCO Belia dan Sukan, YB Soon Lip Chee bagi mewujudkan sebuah Galeri Sukan Negeri dengan objektif untuk menyediakan satu ruangan khas untuk mempamerkan sejarah sukan kepada masyarakat umum, selain sebagai sebuah platform untuk menghargai segala pencapaian para atlet yang telah mengharumkan nama negeri dan negara.
Ini adalah kerana ia secara tidak langsung merupakan satu tanda kebanggaan bagi seluruh rakyat negeri Pulau Pinang kerana galeri sukan ini merupakan yang pertama diwujudkan oleh Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP).
Piala, Baju dan Raket jaguh badminton negara, Dato' Wira Lee Chong Wei juga dipamerkan di Galeri Sukan.
Galeri tersebut telah diubahsuai dengan konsep untuk memastikan ia adalah family-friendly di mana terdapat ruang untuk kanak-kanak menikmati suasana galeri ini. Antara keistimewaan galeri ini adalah segmen pameran peralatan sukan, piala-piala serta pingat-pingat kemenangan yang disumbangkan oleh para atlet seperti Dato’ Wira Lee Chong Wei (raket badminton, jersi dan piala) dan Dato’ Nicol Ann David (raket skuasy beserta dengan gambar), selain pelbagai maklumat berkaitan pencapaian ikon-ikon atlet ini.
Bagi mereka yang berminat untuk melawat Galeri Sukan Negeri Pulau Pinang ini, ia dibuka secara percuma kepada masyarakat umum yang berminat pada setiap Hari Sabtu dan Ahad pada jam 8.30 pagi hingga 6.30 petang dan bagi lawatan pada Hari Isnin hingga Jumaat, ianya adalah melalui sistem tempahan yang boleh diakses melalui pautan seperti dibawah:
>>Klik di Sini untuk Tempahan Lawatan Ke Galeri Sukan Negeri Pulau Pinang
Penglibatan dan penyertaan daripada semua khususnya daripada pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah dengan harapan ianya dapat memberikan inspirasi kepada anak-anak muda ini.