Sukan TryOut @ Uji Bakat Atlet

SUKAN ‘TRYOUT’ atau Ujibakat Atlet merupakan satu insiatif di peringkat akar umbi yang menggabungkan pencarian dan pembangunan atlet yang bertujuan dalam membentuk bakat serta muka-muka baru dari golongan usia bawah 12 tahun, bawah 15 tahun dan 18 tahun kebawah untuk diserap ke sukan-sukan yang bersesuaian.

Secara amnya, Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang mempunyai sebanyak 47 jenis sukan yang dikendalikan oleh Persatuan Sukan Negeri Pulau Pinang yang bernaung dibawah agensi ini. Sukan-sukan yang dibangunkan ini terdiri daripada kategori sukan tempur, sukan berpasukan, sukan racket, sukan fokus dan sukan individu yang digerakkan di peringkat negeri Pulau Pinang.

Individu yang mendaftar niat mereka diatas talian, akan dihubungi oleh Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang untuk dipanggil bagi menjalani sessi ujian UjiBakat bagi mengenalpasti ciri-ciri fizikal anggota badan mereka yang membabitkan dua komponen ujian melibatkan pengukuran antropometrik iaitu pengukuran ketinggian serta berat badan; dan ujian kecergasan bagi mengukur kelenturan iaitu jangkauan melunjur; kelajuan iaitu 20 meter lari pecut; kuasa iaitu lompat jauh berdiri dan koordinasi iaitu baling serta tangkap untuk dilihat kesesuaian bagi menceburi sukan-sukan tertentu yang bersesuaian.

Bagi anak-anak muda yang mempunyai pengalaman dalam sukan yang diceburinya, umpamanya merupakan pemain sosial peringkat komuniti, pernah mewakili sekolah, kampung, kelab, atau daerah, ianya akan menjadi satu kelebihan yang akan diambil maklum untuk pertimbangan yang sewajarnya bagi membolehkan mereka diserap ke dalam program latihan sukan negeri dibawah kendalian Jurulatih Sukan Negeri Pulau Pinang.

Dan bagi mereka yang tidak pernah belajar ataupun mengetahui akan cara bermain terhadap sesuatu jenis sukan, pihak majlis akan mencadangkan kepada mereka dengan perkhidmatan jurulatih persendirian (private trainer)/akademi latihan/kelab sukan yang boleh mereka ikuti untuk menghadiri kelas-kelas swasta yang dianjurkan mengikut lokasi dan kawasan. Untuk akademi berkenaan, bayaran yuran mungkin akan dikenakan dan akan menjadi tanggungan sendiri, pihak majlis hanya bertindak sebagai badan penghubung sahaja dalam soal ini.

>> Klik di sini untuk mendaftar