ESM BUKA PELUANG SERTAI PASUKAN KEBANGSAAN

Daripada Laman Majlis Sukan Negara MalaysiaDaripada Laman Majlis Sukan Negara Malaysia



KUALA LUMPUR, 15 April 2018 – Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) bakal menganjurkan kejohanan bagi mencari atlet berpotensi untuk menggalas tanggungjawab negara dalam 3 perisian iaitu DOTA 2, FIFA 18 dan Counterstrike (Global Offensive).

Kejohanan ini dijangka bakal melibatkan seramai 15,000 atlet sukan elektronik dari seluruh negara yang akan bertanding melalui pemilihan di 14 negeri, 30 kelab sukan elektronik kolej serta universiti di seluruh negara dan 6 zon untuk menjadi juara negara.

Pemilihan akan bermula dari bulan Julai hingga September 2018 sebelum peringkat akhir pemilihan akan di adakan di Ipoh, Perak bersempena Sukan Malaysia (SUKMA) pada bulan September 2018.

Juara akan mewakili Malaysia secara rasmi ke pertandingan-pertandingan antarabangsa dan menyertai program pembangunan atlet sukan elektronik selama setahun bersama Majlis Sukan Negara dan ESM.

Majlis pelancaran National Esports Team Selection 2018 telah di adakan di Orange eSports Stadium, Setapak, Kuala Lumpur pada Sabtu 14 April 2018 yang dihadiri Ketua Pengarah MSN, Dato’ Ahmad Shapawi Ismail.

Dalam pada itu, Persatuan Sukan Elektronik Malaysia juga telah menganjurkan China Esports Games 2018 Malaysia Qualifier bagi memilihatlet-atlet sukan elektronik untuk mewakili Malaysia di Tai Cang, Jiangsu, China pada 29 April 2018 hingga 1 Mei 2018.

(Sumber : https://www.nsc.gov.my/umum/esm-buka-peluang-sertai-pasukan-kebangsaan/)