Festival Sukan Kombat Karate 2014

 

(Gambar Dari kanan: Bendahari Persekutuan Karate Pulau Pinang [PKF] Steven Low, Pengarah Teknikal PKF Paul Chong, Setiausaha Kehormat PKF William Tang, Presiden PKF Patrick Lim, Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang Frederick Tan Teck An, ahli PKF Danny Chew dan ahli PKF Rajah Chetabaran.)

 

GEORGETOWN - Saksikan saingan sengit diantara atlet-atlet karate tempatan dengan peserta luar negara ketika Festival Sukan Kombat Karate Negeri Pulau Pinang 2014 pada hari Ahad ini, 14 Disember 2014. 

Daripada lebih kurang 300 atlet karate yang bakal menyertai kejohanan sukan karate bawah 21 tahun tersebut di Stadium Tertutup Han Chiang di Jalan Lim Lean Teng tersebut termasuk 40 atlet handalan dari Iran dan 10 atlet dari Macau kata Presiden Persekutuan Karate Pulau Pinang Patrick Lim Chee Jin.

“Saya menjangkakan bahawa pertandingan ini akan memberikan pendedahan yang amat bernilai bagi peserta karate tempatan kerana terdapat penyertaan dari atlet handalan Iran yang telah memenangi pingat di kejohanan-kejohanan antarabangsa Asian.

“Kami berharap dengan adanya atlet handalan dari luar ngara, kemahiran atlet tempatan dapat dipertingkatkan lagi melalui pertandingan ini disamping membantu pihak persatuan mencungkil bakat baru untuk pembangunan sukan karate,” kata Lim baru-baru ini [8 Dis].

Menurut Lim, jumlah peserta yang akan menyertai pertandingan sukan karate sempena Festival Sukan Kombat tahunan anjuran Kerajaan Negeri tahun ini juga telah meningkat berbanding dengan tahun lepas.

Para peserta yang telah mendaftar untuk pertandingan yang dipecahkan dalam 39 kategori tersebut termasuk dalam linkungan umur 9 hingga 21 tahun, tambah Lim. 

Orang ramai dijemput menyaksikan pertandingan karate tersebut dan masuk adalah percuma, kata Lim.

Setakat ini, Pulau Pinang merupakan penjana atlet elit bagi sukan karate bagi negara,kata Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang Frederick Tan Teck An.

“Pihak Majlis amat menghargai sokongan dari semua pihak yang terlibat terutamanya dalam pembangunan sukan karate di Pulau Pinang.

“Kami berharap agar sempena pertandingan ini, atlet negeri dapat menunjukkan peningkatan yang lebih memberangsangkan lagi,” ujar Tan.

Festival Sukan Karate Negeri Pulau Pinang 2014 adalah satu daripada lima pertandingan sukan kombat yang dianjurkan dibawah Festival Sukan Kombat [FESKOM] Negeri Pulau Pinang 2014 yang sedang berlangsung dari 1 hingga 31 Disember setiap tahun.

Selain sukan karate, kejohanan sukan kombat yang turut dianjurkan sempena FESKOM adalah bagi sukan judo, silat, muay thai dan tinju.

FESKOM dianjurkan oleh Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang dengan sokongan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pembangunan Pelancongan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Kewangan Negeri Pulau Pinang, Jawatankuasa Pengelola Pesta Pulau Pinang dan Persatuan-Persatuan Sukan Negeri Pulau Pinang sempena Pesta Pulau Pinang.

 

Sumber : Disediakan oleh Unit Perhubungan Awam, Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, 8 Disember 2014

FACEBOOK MSNPP

Feed not found.