Tahniah Chan Lu Yi - Wushu

17 November 2015, Pulau Pinang - Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang merakamkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada atlet Wushu Pulau Pinang, CHAN LU YI yang baru-baru ini telah memenangi pingat emas di dalam Kejohanan Wushu Dunia Ke-13 di Jakarta Indonesia pada 16 November 2015.

Kejayaan atlet wushu wanita yang berusia 18 tahun di pentas sukan dunia ini telah menyemarakkan lagi gema kejayaan di Pulau Pinang selepas khabar kejayaan yang dicapai sehari sebelumnya oleh pemain badminton perseorangan lelaki negara Dato' Lee Chong Wei yang memenangi Kejohanan Badminton Terbuka China di Fuzhou, China dan dan kejayaan terulung oleh pemain badminton perseorangan wanita yang berusia 15 tahun negara, Goh Jin Wei di Kejohanan Badminton Yonex BWF Remaja Dunia di Lima, Peru pada 15 November 2015.

Kejohanan Wushu Dunia Ke-13 Jakarta, Indonesia 2015 yang dianjurkan oleh Persekutuan Wushu Antarabangsa dengan kerjasama Persatuan Wushu Indonesia ini telah berlangsung pada 14 hingga 18 November 2015 di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Senayan dan disertai oleh seramai 904 orang atlet dari 70 buah negara. Kali terakhir kejohanan dwi-tahunan ini berlangsung adalah pada tahun 2013 di Kuala Lumpur.

Kejayaan di pentas dunia ini telah menambah rekod kemenangan Chan Lu Yi yang memberangsangkan sejak penyertaannya sebagai atlet kebangsaan. Antara kemenangan yang dicapai adalah seperti berikut:-

  • 3rd Islamic Solidarity Games 2013
    2 pingat Perak (Taijiquan & Taijijian)

  • World Combat Games 2013
    1 pingat Gangsa (acara gabungan Taijiquan & Taijijian)

  • World Taiji Wushu Championships 2014
    2 pingat emas (Taijiquan & Taijijian) dan 1 pingat gangsa (acara berpasukan)

  • Nanjing Youth Olympic Games 2014
    1 pingat Gangsa (acara gabungan Taijiquan & Taijijian)

  • SEA Games Singapore 2015
    1 pingat Emas (Duilian), 1 pingat Perak (Taijiquan Wajib), 1 pingat gangsa (Taijiquan Pilihan)

  • 8th Asian Junior Championships
    1 pingat Emas (Taijiquan), 1 Perak (Taijijian)

Sasaran kejayaan seterusnya bagi Chan Lu Yi adalah untuk meraih kemenangan di Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 dan Sukan Asia ke-18 Indonesia 2018.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat berbangga dengan kejayaan ini dan mendoakan agar atlet ini kekal maju mencapai kejayaan yang lebih gemilang.

Syabas!

 

FACEBOOK MSNPP

Feed not found.